Pengenalan:
Selepas menyentuh tentang keutamaan untuk taat kepada Rasulullah ﷺ di dalam Surah Fath sebelum ini, sekarang Surah Hujurat ini meneruskan pengajaran kepada kita tentang cara kita berurusan dengan Rasulullah ﷺ.
Surah ini penting kerana ia mengajar umat Islam tentang tatacara yang sepatutnya ada di dalam masyarakat Islam. Bukan hanya pada zaman Nabi ﷺ dan semasa baginda hidup sahaja. Surah ini mengajar cara bermasyarakat yang sepatutnya. Mengajar kita bagaimana untuk menghormati orang lain.
Terutama sekali dengan orang-orang yang sama-sama sayang kepada Rasul ﷺ. Kita semua Muslim dan sayang kepada baginda, bukan? Maka kita telah ada satu titik persamaan yang mendekatkan pertalian antara kita (cinta kepada Rasulullah ﷺ). Maka kalau begitu, kena amalkan apa yang diajar dalam surah ini.
Kalau sudah bermasyarakat dan sudah ada negara Islam maka rakyat di dalam negara Islam itu kena patuhi undang-undang kerana jika tidak, negara akan pecah belah dan hancur. Jadi surah ini juga tentang pembinaan Negara Islam.
Surah ini terbahagi kepada dua bahagian:
Bahagian pertama adalah ayat satu hingga 13 di mana ia mengandungi tujuh undang-undang dalam sebuah negara Islam atau tujuh adab di antara rakyat dengan khalifah dan rakyat sesama rakyat.
Bahagian kedua adalah dari ayat 14 hingga akhir (ayat 18) yang mengandungi teguran Allah ﷻ kepada kumpulan kafir dan munafik.
Ayat 1: Surah ini boleh dibahagikan kepada 5 perenggan makro. Ayat 1 ini adalah Perenggan Makro Pertama dan ia menceritakan hak-hak Allah ﷻ. Ayat ini mengandungi larangan menyalahi Al-Qur’an dan Sunnah.
يٰۤاَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا لا تُقَدِّموا بَينَ يَدَيِ اللهِ وَرَسولِهِ ۖ وَاتَّقُوا اللهَ ۚ إِنَّ اللهَ سَميعٌ عَليمٌ
Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mendahului Allah dan RasulNya dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.
يٰۤاَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا
Hai orang-orang yang beriman,
Ini adalah arahan kepada orang yang rasa mereka telah beriman. Kalau rasa beriman tu, kenalah dengar dan sedar tentang ayat ini. Maka kita hendaklah mengamati arahan di dalam ayat-ayat ini.
لا تُقَدِّموا بَينَ يَدَيِ اللهِ وَرَسولِهِ
janganlah kamu mendahului Allah dan RasulNya
Jangan jadikan diri kamu prioriti yang lebih dari Allah ﷻ dan Rasul ﷺ. Kita sebagai manusia memang ada kehendak, itu tidak dinafikan. Akan tetapi kehendak kita itu hendaklah datang nombor dua selepas kehendak Allah ﷻ dan Rasul ﷺ.
Kita kena lebih cinta kepada Allah ﷻ dan Rasul ﷺ sebelum diri kita sendiri. Kena taat kepada Allah ﷻ dan Rasul ﷺ dahulu. Ada masanya dalam kehidupan kita, akan ada konflik di antara kehendak kita dan kehendak agama maka kita kena dahulukan kehendak agama.
Maknanya di dalam setiap urusan kehidupan kita, sebelum kita lakukan sesuatu hendaklah kita tanya: “apakah kata Al-Qur’an dan kata hadis berkenaan perkara ini?” Jangan kata tidak ada di dalam Al-Quran dan hadis sedangkan tidak tanya dan tidak cari pun lagi.
Maksudnya lagi, janganlah tergesa-gesa dalam segala sesuatu yang berada di hadapan kita, yakni janganlah melakukan sesuatu sebelum baginda, bahkan hendaklah mengikuti baginda dalam segala urusan. Macam kita sekarang, kita hendaklah belajar hadis Nabi supaya kita tahu apa yang kita perlu lakukan dalam agama.
Apabila telah duduk di dalam negara Islam, kenalah tanya apakah kehendak agama di dalam sesuatu perkara. Dalam bab aqidah kena tanya Al-Qur’an dan dalam bab amalan kena tanya hadis. Untuk mendapatkan ini, kenalah belajar. Atau sekurangnya kena rapat dengan golongan alim supaya senang untuk tanya apa-apa soalan.
وَاتَّقُوا اللهَ
dan bertakwalah kepada Allah.
Jadi dalam undang-undang pertama ini, pemimpin atau Khalifah pun kena tengok syari’at agama di dalam memerintah negara. Jangan buat sesuatu keputusan yang menyalahi Al-Qur’an dan Sunnah. Kalau pemimpin itu sendiri jahil agama, maka dia kena ada penasihat dari kalangan orang alim.
Maka taqwa adalah prihatin dan cakna dengan hukum Allah ﷻ. Dalam segenap perkara, kena tanya: “Allah ﷻ hendak aku buat macam mana dalam hal ini?”
إِنَّ اللهَ سَميعٌ عَليمٌ
Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.
Kena jaga hal syariat kerana Allah ﷻ sentiasa memerhatikan apa sahaja yang kita lakukan. Allah ﷻ sentiasa nampak dan mendengar perbuatan dan perbualan manusia. Allah ﷻ menilai apa yang kita sedang lakukan dan kalau ada kesalahan, akan ditanya dan akan diazab.
Ayat 2: Ayat 2 – 5 adalah Perenggan Makro Kedua. Ia menyebut hak-hak Rasulullah ﷺ pula. Jadi ayat ini tentang belajar cara hormat. Ianya tentang adab dengan Nabi ﷺ. Pertama kena sedar yang Nabi ﷺ itu tidak sama dengan manusia biasa. Maka cara layanan kepada baginda pun kenalah lain.
يٰۤاَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا لا تَرفَعوا أَصوٰتَكُم فَوقَ صَوتِ النَّبِيِّ وَلا تَجهَروا لَهُ بِالقَولِ كَجَهرِ بَعضِكُم لِبَعضٍ أَن تَحبَطَ أَعمٰلُكُم وَأَنتُم لا تَشعُرونَ
Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu meninggikan suaramu melebihi suara Nabi, dan janganlah kamu berkata kepadanya dengan suara yang keras, sebagaimana kerasnya suara sebahagian kamu terhadap sebahagian yang lain, supaya tidak hapus (pahala) amalanmu, sedangkan kamu tidak menyedari.
يٰۤاَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا
Hai orang-orang yang beriman,
Sekali lagi nasihat diberikan kepada mereka yang telah sanggup menerima iman. Apabila sudah menerima iman, maka ada syarat-syarat yang kena dijaga. Jangan hati sahaja kononnya beriman, tetapi syariat agama dan adab tidak dijaga.
لا تَرفَعوا أَصوٰتَكُم فَوقَ صَوتِ النَّبِيِّ
janganlah kamu meninggikan suaramu melebihi suara Nabi,
Umat Islam waktu itu diajar: Apabila bercakap dengan Rasulullah ﷺ, kena pastikan bahawa suara mereka tidak lebih kuat dari suara baginda. Kadang-kadang ada manusia yang jenis suara mereka memang kuat dan cara bercakap mereka memang kasar.
Contohnya orang Badwi memang cara cakap mereka kuat dan kasar, tetapi walaupun begitu, mereka tidak boleh melakukannya di hadapan Rasulullah ﷺ. Mereka kena kawal diri mereka. Kena ubah sikit kebiasaan mereka. Perkara baik memang elok diamalkan. Kena ‘biasakan yang tidak biasa’.
Mereka tidak boleh guna alasan: “macam inilah cara aku cakap”. Ini penting kerana kita tidak boleh menyakiti hati Nabi ﷺ kerana kalau menyakiti hati Nabi ﷺ, maka iman kita sudah rosak. Dalam setiap hati kita, kena ada kasih dan sayang kepada Nabi ﷺ. Sampai sanggup bercakap dengan lembut kepada baginda.
Tetapi bagaimana pengamalan ayat ini kepada kita yang tidak berjumpa dengan Rasulullah ﷺ? Kita kena ingat yang suara Nabi ﷺ sampai kepada kita melalui ayat-ayat Al-Qur’an yang dibaca oleh baginda dan hadis-hadis yang disampaikan oleh baginda. Maka jikalau ada orang yang menegur kita dengan menyebut dalil-dalil daripada ayat Al-Qur’an dan juga dari hadis, maka hendaklah kita menghormati apa yang disampaikan itu kerana seolah-olah ianya adalah ‘suara’ Nabi ﷺ.
Mungkin kita tidak bersetuju dengan apa yang disampaikan ataupun mungkin orang yang menyampaikannya itu salah faham tentang ayat ataupun hadis itu tetapi perkara ini bukanlah untuk didebatkan. Pertama sekali kita kena hormat dengan apa yang disampaikan jikalau yang dibawa adalah kata-kata Rasulullah ﷺ.
Selepas itu jikalau kita ada maklumat yang lebih tepat maka bolehlah kita memberi tahu kepada orang yang menegur kita. Yang pentingnya, pertama sekali kena hormat dengan ayat Al-Qur’an dan hadis itu dahulu.
وَلا تَجهَروا لَهُ بِالقَولِ كَجَهرِ بَعضِكُم لِبَعضٍ
dan janganlah kamu berkata kepadanya dengan suara yang keras, sebagaimana kerasnya suara sebahagian kamu terhadap sebahagian yang lain,
Allah ﷻ larang para sahabat memanggil baginda dengan suara nyaring seperti kita panggil orang lain. Jangan layan Nabi ﷺ seperti kita layan manusia yang lain.
Kisah latar belakang ayat ini, ada dari kalangan orang-orang Badwi yang memanggil Nabi Muhammad ﷺ dari luar rumah baginda kerana mereka ada soalan yang hendak ditanya. Mereka datang dari luar bandar dan masuk ke Kota Madinah dan mereka hendak bercakap dengan Rasulullah ﷺ dan waktu itu baginda telah masuk ke dalam bilik rumah (hujurat) baginda kerana urusan peribadi baginda.
Baginda pun manusia juga dan tentulah ada urusan yang hendak baginda selesaikan di dalam rumah. Ini adalah hal peribadi baginda. Sahabat-sahabat yang tinggal di Madinah dan sudah lama dengan baginda tidak akan memanggil baginda apabila baginda telah masuk ke dalam rumah sehinggalah baginda keluar sendiri. Mereka sudah faham adab.
Namun Arab Badwi ini golongan ‘darat’ maka adab mereka kasar sikit. Sudahlah orang-orang Badwi itu memanggil baginda dengan suara kuat apabila baginda sudah di dalam rumah, mereka cuma panggil baginda dengan nama baginda sahaja. “Ya Muhammad!”, mereka panggil begitu sahaja.
Allah ﷻ tidak suka dengan apa yang mereka lakukan itu maka Allah ﷻ tegur mereka di dalam ayat ini. Di sini Allah ﷻ turunkan ayat mengajar manusia dengan adab kepada pemimpin, kerana jikalau dengan pemimpin pun rakyat tidak boleh beradab, lalu bagaimanakah mereka akan menjadi contoh kepada manusia yang lain?
Dan ini penting, kerana Nabi Muhammad ﷺ bukanlah seperti orang-orang lain dan sekarang mereka sedang hidup di dalam masyarakat yang baru tumbuh, maka ada undang-undang yang perlu mereka jaga. Masyarakat Islam adalah masyarakat yang baru, maka ada peraturan-peraturan yang perlu ditetapkan, diterapkan dan perlu dijaga oleh mereka. Masyarakat Islam adalah seperti keluarga yang besar dan ketua keluarga yang perlu dihormati adalah Rasulullah ﷺ sendiri.
Dan inilah yang difahami oleh para sahabat di sekeliling baginda. Walaupun mereka itu kenal Rasulullah ﷺ sebelum baginda menjadi Rasul lagi, tetapi mereka tetap panggil baginda dengan gelaran ‘Rasulullah’. Sebagai contoh, Abu Bakar رضي الله عنه telah kenal dan berkawan rapat dengan Nabi ﷺ semasa mereka kecil lagi tetapi beliau juga memanggil Nabi Muhammad ﷺ dengan gelaran ‘Rasulullah’.
Beliau tidak cakap: “sahabat aku Muhammad cakap begini dan begini….” Isteri-isteri baginda juga rapat dengan baginda dan tinggal serumah dengan baginda tetapi mereka juga panggil baginda dengan gelaran ‘Rasulullah’. Mereka tidaklah kata: “suami aku telah bersabda…”.
Jadi kita boleh lihat mereka memang telah kenal baginda semasa baginda belum lagi menjadi Nabi, dan mereka telah menukar cara panggilan mereka kepada baginda kepada ‘Rasulullah’ kerana mereka sedar kedudukan baginda yang perlu dihormati. Kita tidak alami perkara ini kerana kita lahir-lahir sahaja kita telah kenal Rasulullah ﷺ sebagai manusia yang mulia. Maka sepatutnya kita tidak ada masalah.
Dan cara penghormatan kepada Rasulullah ﷺ adalah biasa sahaja dan bukanlah yang pelik-pelik pun. Ianya masih diterima akal sihat lagi. Bukannya nak kena cium tangan, sembah kaki baginda. Baginda pun tidak suka apabila orang bangkit apabila baginda sampai, sehinggakan baginda menegur para sahabat yang melakukan demikian.
Memang Nabi ﷺ larang perkara ini maka jikalau kita menyambut orang pun janganlah kita bangkit. Akan tetapi memang banyak yang buat perkara ini dan tanpa mereka sedari, mereka telah menyalahi larangan dari Nabi ﷺ sendiri.
Maknanya menghormati Nabi ﷺ ini adalah perkara biasa sahaja sampaikan baginda boleh ditegur di tengah jalan dan sahabat boleh bercakap dengan cara biasa sahaja dengan baginda. Maknanya tidaklah ada protokol khas apabila berurusan dengan Nabi ﷺ, cuma janganlah tidak beradab dengan baginda.
Janganlah sampai apabila baginda sudah masuk ke dalam rumah baginda, dipanggil-panggil baginda untuk keluar waktu itu juga. Atau bercakap dengan suara yang kasar dengan baginda. Inilah yang dikira tidak beradab.
Dan bagaimana dengan kita sekarang, iaitu bagaimanakah kita hendak menghormati Nabi ﷺ? Kerana kita tidaklah hidup di kalangan baginda lagi, bukan? Maka pengajaran yang kita boleh ambil dari ayat ini tidak boleh bercakap berkenaan Nabi Muhammad ﷺ seperti kita bercakap tentang orang-orang lain. Kita kena cakap tentang baginda sebagai seorang yang mulia dan seorang yang amat dihormati. Jangan kita memperlekehkan baginda. Terutama sekali, kena jaga ajaran baginda.
أَن تَحبَطَ أَعمٰلُكُم وَأَنتُم لا تَشعُرونَ
supaya tidak hapus (pahala) amalanmu, sedangkan kamu tidak menyedari.
Dan perkara ini amat penting sampaikan Allah ﷻ memberitahu kita, jikalau kita tidak menghormati Nabi ﷺ seperti mana yang sepatutnya, segala amalan-amalan baik yang kita telah lakukan akan hancur begitu sahaja. Mungkin mereka tidak perasan perkara ini maka Allah ﷻ beritahu dalam ayat ini.
Maka kalau mereka telah hijrah dengan Nabi ﷺ, berperang dengan Nabi ﷺ, solat bersama Nabi ﷺ, apa-apa sahaja amalan baik yang telah mereka lakukan, semua itu akan dihilangkan pahalanya. Maka rugilah sahaja. Kerana tidak beradab dengan Nabi ﷺ itu boleh menyebabkan gugur segala amalan.
Ayat 3: Allah ﷻ memberitahu kelebihan orang yang merendah-rendahkan suara di hadapan Rasulullah ﷺ.
إِنَّ الَّذينَ يَغُضّونَ أَصوٰتَهُم عِندَ رَسولِ اللهِ أُولٰئِكَ الَّذينَ امتَحَنَ اللهُ قُلوبَهُم لِلتَّقوىٰ ۚ لَهُم مَّغفِرَةٌ وَّأَجرٌ عَظيمٌ
Sesungguhnya orang yang merendahkan suaranya di sisi Rasulullah mereka itulah orang-orang yang telah diuji hati mereka oleh Allah untuk bertakwa. Bagi mereka ampunan dan pahala yang besar.
إِنَّ الَّذينَ يَغُضّونَ أَصوٰتَهُم عِندَ رَسولِ اللهِ
Sesungguhnya orang yang merendahkan suaranya di sisi Rasulullah
Allah ﷻ memuji mereka yang merendahkan suara mereka di hadapan Rasulullah ﷺ. Iaitu mereka yang hormat sungguh-sungguh di hadapan Nabi ﷺ. Mereka ini adalah orang yang ada adab dan hendaklah kita ikut cara mereka.
أُولٰئِكَ الَّذينَ امتَحَنَ اللهُ قُلوبَهُم لِلتَّقوىٰ
mereka itulah orang-orang yang telah diuji hati mereka oleh Allah untuk bertakwa.
Allah ﷻ kata yang mereka itu telah diuji untuk taqwa. Maksudnya Allah ﷻ telah bersihkan hati mereka untuk menerima sifat taqwa. Allah ﷻ telah uji hati mereka sehingga mereka layak untuk terima taqwa dan alamat mereka sudah sampai ke tahap itu adalah boleh bercakap lembut dan beradab dengan Nabi ﷺ.
Taqwa itu bermaksud taat kepada Allah ﷻ, tetapi di dalam ayat ini ia bermaksud hormat Rasulullah ﷺ. Nak taat kepada Allah ﷻ, kena juga hormat dan beradab di hadapan Rasulullah ﷺ.
لَهُم مَّغفِرَةٌ وَّأَجرٌ عَظيمٌ
Bagi mereka keampunan dan pahala yang besar.
Mereka mendapat pengampunan dan pahala yang besar dari Allah ﷻ. Ini adalah nikmat yang amat besar. Kerana masalah paling besar yang kita takut adalah dosa-dosa kita. Kerana dosa boleh memasukkan seseorang itu ke dalam neraka. Kalau Allah ﷻ kata yang Dia ampunkan, maksudnya sudah pasti akan masuk ke dalam syurga.
Dan kemudian dijanjikan pula dengan pahala yang besar. Pahala yang banyak akan meninggikan kedudukan dalam syurga. Kerana syurga itu ada banyak tingkatan. Kalau sudah diampunkan semua dosa, maka sudah pasti masuk syurga. Tetapi kedudukan belum pasti lagi tinggi atau rendah.
Dan sekarang Allah ﷻ kata Dia akan berikan pahala yang besar, maka itu bermakna akan dinaikkan ke kedudukan yang tinggi sekali. Maka alangkah hebatnya tawaran ini!
Ayat 4: Ayat Zajrun diberikan kepada mereka yang tidak faham lagi agama Islam.
إِنَّ الَّذينَ يُنادونَكَ مِن وَّراءِ الحُجُرٰتِ أَكثَرُهُم لا يَعقِلونَ
Sesungguhnya orang-orang yang memanggil kamu dari luar kamar(mu) kebanyakan mereka tidak mengerti.
إِنَّ الَّذينَ يُنادونَكَ مِن وَّراءِ الحُجُرٰتِ
Sesungguhnya orang-orang yang memanggil kamu dari luar kamar
Allah ﷻ menegur mereka yang memanggil Rasulullah ﷺ dari luar bilik baginda. Ini adalah kisah orang-orang Badwi yang telah melaung memanggil Nabi ﷺ semasa baginda sedang melakukan urusan peribadi di dalam bilik rumah baginda.
Sudahlah melaung panggil baginda yang sedang berehat dalam rumah, mereka panggil baginda dengan nama sahaja (bukan guna gelaran Rasulullah ﷺ). Maka Allah ﷻ tegur terus mereka dalam ayat ini.
أَكثَرُهُم لا يَعقِلونَ
kebanyakan mereka tidak mengerti.
Allah ﷻ kata mereka itu jenis orang yang tidak mengerti. Ini adalah teguran yang menggunakan bahasa yang lembut. Kerana ada dua cara untuk kita kata orang ‘tidak tahu’.
Satu cara, kita kata mereka ‘tidak tahu’ dan satu lagi cara, kita kata mereka ‘bodoh’. Tetapi lihatlah bagaimana Allah ﷻ kata mereka itu hanya ‘tidak tahu’ sahaja dan tidaklah Allah ﷻ kata mereka itu bodoh. Maka walaupun ini adalah teguran, tetapi masih teguran yang lembut lagi.
Ayat 5:
وَلَو أَنَّهُم صَبَروا حَتّىٰ تَخرُجَ إِلَيهِم لَكانَ خَيرًا لَّهُم ۚ وَاللهُ غَفورٌ رَّحيمٌ
Dan kalau sekiranya mereka bersabar sampai engkau keluar menemui mereka sesungguhnya itu lebih baik bagi mereka, dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.
وَلَو أَنَّهُم صَبَروا حَتّىٰ تَخرُجَ إِلَيهِم لَكانَ خَيرًا لَّهُم
Dan kalau sekiranya mereka bersabar sampai engkau keluar menemui mereka sesungguhnya itu lebih baik bagi mereka,
Kalaulah mereka sabar dan tunggu Nabi ﷺ keluar dari rumah baginda, itu lebih baik. Tidak payahlah panggil-panggil, menjerit-jerit. Biarkanlah Nabi ﷺ menyelesaikan urusan baginda di dalam rumah baginda dan tunggulah baginda keluar kalau ada apa-apa urusan yang hendak ditanya kepada Rasulullah ﷺ.
Mudah sahaja hendak jumpa Nabi ﷺ kerana baginda bukan ada protokol pun. Bukan nak kena buat temu janji. Malahan Nabi ﷺ akan cuba ikut cara-cara mereka di mana yang boleh, supaya hati mereka jinak dengan baginda. Maksudnya baginda cuba ikut cara masyarakat yang berurusan dengan baginda.
وَاللهُ غَفورٌ رَّحيمٌ
dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.
Allah ﷻ beritahu Dia pemaaf kerana Allah ﷻ maafkan mereka kali ini. Allah ﷻ maafkan kali ini kerana mereka tidak tahu lagi. Memang puak Badwi itu adalah ‘orang darat’ ataupun orang kampung yang tidak biasa masuk ke dalam bandar.
Jadi cara percakapan mereka di kampung tentulah ada cara mereka sendiri tetapi mereka kenalah tahu yang cara-cara begitu tidak boleh dipakai di dalam bandar. Terutama sekali apabila bersama dengan golongan mukmin yang telah mendapat didikan akhlak dan tatacara dari Rasulullah ﷺ sendiri. Maka mereka kena belajar ubah diri mereka.
Akan tetapi para sahabat memang suka kalau datang orang Badwi dan apabila mereka bertanya soalan yang pelik-pelik dan perbuatan mereka yang pelik-pelik kerana disebabkan oleh merekalah turunnya ayat-ayat Al-Qur’an untuk memperbaiki kesilapan mereka itu. Maka para sahabat yang lain dapat ilmu baru. Mereka sendiri tidak banyak bertanya kepada Nabi ﷺ kerana mereka menjaga adab depan Nabi ﷺ.
Kita kena faham bahawa agama Islam dan masyarakat Islam menjadi contoh kepada umat manusia. Jadi apa-apa sahaja amalan hidup kita mestilah yang terbaik.
Kerana itulah Saidina Umar رضي الله عنه amat menjaga ketamadunan di Madinah. Beliau tidak suka dan akan menghalang orang-orang yang tidak tahu hukum perniagaan untuk berniaga di Madinah. Kerana beliau tidak mahu orang-orang itu buat salah kerana jahil dan akan menjadi ikutan kepada umat-umat yang lain kerana mereka itu menjadi contoh kepada umat Islam.
Takut nanti orang buat kesalahan dan kata “orang Madinah pun buat macam itu…”. Ini bahaya kerana ramai yang datang ke Madinah untuk ambil ilmu. Jadi jangan tunjuk cara bukan Islam kalau berada di Madinah dan kena belajar dahulu ilmu yang benar.
Allahu a’lam.