5 DOA PENERANG HATI UNTUK ANAK

*Gambar Sekadar Hiasan

1. DOA NABI MUHAMMAD S.A.W. BUAT IBNU ABBAS R.A.

اَللَّهُمَّ فَقِّهُّ فِي الدِّيْنِ وَعَلِّمْهُ التَّأْوِيْلَ

(ALLAHUMMA FAQQIHHU FIDDEEN WA A’LLIMHUT TAKWIL)

Maksudnya:  “Ya Allah, berilah kefahaman kepadanya dalam urusan agama dan ajarkannya Takwil (tafsir al-Quran).”

Doa ini dibaca oleh Nabi Muhammad SAW untuk Abdullah Ibnu Abbas atau dikenali sebagai Ibnu Abbas.

Menurut para ulama’, berkat bacaan doa ini, Abdullah bin Abbas telah menjadi salah seorang tokoh yang paling ‘alim tentang Al-Qur’an dan paling faqih dengan tafsirannya.

Selain terkenal sebagai seorang ahli Hadis, ahli Tafsir, dan ahli Feqah yang tersohor di zamannya, beliau turut mendapat tempat istimewa disisi Khalifah Ar-Rasyidin dalam membantu urusan pentadbiran.

Menurut Dr. Ustaz Zahazan, boleh juga dibaca “Allahumma faqqihhu fid deen, wa a’llimuhul hikmah (ilmu pengetahuan)”

2. SURAH TAHA AYAT 1-5

Surah Taha ini ayat 1-5 ini juga banyak manfaatnya dan amat popular di kalangan ibu bapa.

Ayat ini dikatakan menjadi pelembut hati simbolik dengan peristiwa di mana Umar al-Khattab yang dahulunya amat menentang Islam.

Suatu hari, apabila mendapat berita adiknya memeluk Islam, Umar menjadi sangat marah lalu pergi mencari adiknya.

Sampai sahaja di rumah, adiknya yang sedang membaca Al-Quran telah ditampar sehingga terbaring di atas tanah dan disuruh menyerahkan bacaan yang dibaca. Selepas itu, Umar mula menghayati setiap bait-bait ayat surah Taha 1-5 yang dituturkan oleh adiknya tadi. Tak semena-mena, air mata Umar tumpah, tersentuh hatinya dan beliau terus memeluk agama Islam pada hari itu juga dihadapan Nabi Muhammad SAW.

Berikut adalah keratan ayat surah Taha 1-5

(بِسۡمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِیمِ طه ۝  مَاۤ أَنزَلۡنَا عَلَیۡكَ ٱلۡقُرۡءَانَ لِتَشۡقَىٰۤ ۝  إِلَّا تَذۡكِرَةࣰ لِّمَن یَخۡشَىٰ ۝  تَنزِیلࣰا مِّمَّنۡ خَلَقَ ٱلۡأَرۡضَ وَٱلسَّمَـٰوَ ٰ⁠تِ ٱلۡعُلَى ۝  ٱلرَّحۡمَـٰنُ عَلَى ٱلۡعَرۡشِ ٱسۡتَوَىٰ)

[Surah Ta-Ha 1 – 5]

3. SURAH AN-NUR AYAT 35

(۞ ٱللَّهُ نُورُ ٱلسَّمَـٰوَ ٰ⁠تِ وَٱلۡأَرۡضِۚ مَثَلُ نُورِهِۦ كَمِشۡكَوٰةࣲ فِیهَا مِصۡبَاحٌۖ ٱلۡمِصۡبَاحُ فِی زُجَاجَةٍۖ ٱلزُّجَاجَةُ كَأَنَّهَا كَوۡكَبࣱ دُرِّیࣱّ یُوقَدُ مِن شَجَرَةࣲ مُّبَـٰرَكَةࣲ زَیۡتُونَةࣲ لَّا شَرۡقِیَّةࣲ وَلَا غَرۡبِیَّةࣲ یَكَادُ زَیۡتُهَا یُضِیۤءُ وَلَوۡ لَمۡ تَمۡسَسۡهُ نَارࣱۚ نُّورٌ عَلَىٰ نُورࣲۚ یَهۡدِی ٱللَّهُ لِنُورِهِۦ مَن یَشَاۤءُۚ وَیَضۡرِبُ ٱللَّهُ ٱلۡأَمۡثَـٰلَ لِلنَّاسِۗ وَٱللَّهُ بِكُلِّ شَیۡءٍ عَلِیمࣱ)

[Surah An-Nur 35]

Maksudnya: Allah (pemberi) cahaya (kepada) langit dan bumi. Perumpamaan cahaya-Nya seperti sebuah lubang yang tidak tembus yang di dalamnya ada pelita besar. Pelita itu di dalam tabung kaca, (dan) tabung kaca itu bagaikan bintang yang berkilauan, yang dinyalakan dengan minyak dari pohon yang diberkati, iaitu pohon zaitun yang tumbuh di timur dan tidak pula di barat, yang minyaknya (saja) hampir-hampir menerangi, walaupun tidak disentuh api. Cahaya di atas cahaya (berlapis-lapis), Allah memberi petunjuk kepada cahaya-Nya bagi orang yang Dia kehendaki, dan Allah membuat perumpamaan-perumpamaan bagi manusia. Dan, Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.

Ayat 35 daripada surah Nur ini juga antara yang terkenal dan sering diamalkan sebagai ayat pelembut hati, pendinding diri, penerang hati dan sebagainya. Jika diteliti, ayat ini memiliki maksud yang sangat mendalam.

Dari ayat ini kita boleh faham bahawa sumber cahaya yang menerangi alam ini dan hati kita datangnya daripada Allah. Ilmu itu semuanya dari Allah. Hidayah itu juga ‘cahaya’. Dan apabila datangnya cahaya demi cahaya itulah yang dikatakan ‘nur ala nur’ (cahaya atas cahaya). Kalau tanpa cahaya ilmu dari Allah ini, kita akan terus berada di dalam kegelapan dan kejahilan.

4. SURAH AL-INSYIRAH

Salah satu surah ringkas dalam Juz Amma, namun cukup power.

Ayat ini diajukan kepada Nabi Muhammad SAW bagi menghilangkan segala kesusahan yang dipikul Baginda ketika berdakwah dan menyampaikan risalah-Nya.

Telah diulang 2 kali dalam surah ini, ‘bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan’.

(بِسۡمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِیمِ أَلَمۡ نَشۡرَحۡ لَكَ صَدۡرَكَ ۝  وَوَضَعۡنَا عَنكَ وِزۡرَكَ ۝  ٱلَّذِیۤ أَنقَضَ ظَهۡرَكَ ۝  وَرَفَعۡنَا لَكَ ذِكۡرَكَ ۝  فَإِنَّ مَعَ ٱلۡعُسۡرِ یُسۡرًا ۝  إِنَّ مَعَ ٱلۡعُسۡرِ یُسۡرࣰا ۝  فَإِذَا فَرَغۡتَ فَٱنصَبۡ ۝  وَإِلَىٰ رَبِّكَ فَٱرۡغَب)

[Surah Al-Insyirah 1 – 8]

Maka percayalah bahawa walau sesukar manapun keadaan anak kita, Allah itu lebih mengetahui.

Bahkan, kepada Allah jualah kita memohon agar melapangkan jiwa yang lara, memberi kefahaman dan kefasihan, menjinakkan anak yang sukar mendengar kata, menerangkan hati sesiapa sahaja untuk memudahkan menerima setiap pelajaran yang dipelajari.

5. SURAH AL-ANBIYA’ AYAT 79

(فَفَهَّمۡنَـٰهَا سُلَیۡمَـٰنَۚ وَكُلًّا ءَاتَیۡنَا حُكۡمࣰا وَعِلۡمࣰاۚ وَسَخَّرۡنَا مَعَ دَاوُۥدَ ٱلۡجِبَالَ یُسَبِّحۡنَ وَٱلطَّیۡرَۚ وَكُنَّا فَـٰعِلِینَ)

[Surah Al-Anbiya’ 79]

“Maka, Kami memberikan pengertian kepada Sulaiman (tentang hukum yang lebih tepat), dan kepada masing-masing Kami berikan hikmah dan ilmu, dan Kami tundukkan gunung-gunung dan burung-burung, semua bertasbih bersama Daud. Dan, Kamilah yang melakukannya.”

Ayat ini terdapat dalam kisah Nabi Daud dan Nabi Sulaiman ketika kedua mereka sedang mencari jalan penyelesaian terhadap permasalahan yang berlaku dalam kalangan umatnya ketika itu. Lalu, Allah memberikan mereka kefahaman, hikmah dan ilmu kepada Nabi Sulaiman untuk memutuskan hal tersebut secara adil dan saksama. Ayat ini juga menyebutkan kelebihan Nabi Daud dan diakhiri dengan ‘Kamilah yang melakukannya’, bermaksud semua ini adalah datangnya dari Allah jua.

Maka, mohonlah kefahaman yang baik untuk anak kita kerana Allah berkuasa memberikan ilmu dan hikmah kepada sesiapa saja pada bila-bila masa, dengan cara yang tidak kita ketahui.

JOM AMALKAN SELALU

Bacakan doa ini kepada anak-anak, di ubun kepala ketika anak-anak sedang tidur, masa nak pergi sekolah atau selitkan sekali doa ini buat mereka pada setiap kali lepas solat. Sambil bermain dan peluk anak pun boleh berdoa untuk mereka kan?

Tak terhad kepada doa ini saja, ibu ayah boleh mendoakan apa saja yang baik-baik untuk anak walaupun dalam bahasa Melayu. Mudah-mudahan kita juga diberi kefahaman dan kelapangan hati dalam mendidik dan membesarkan anak-anak. Insha Allah.

Share on facebook
Facebook
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on email
Email

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *