Ketika Rasulullah salallahu alaihi wassalam wafat, keadaan para sahabat baginda tergamam tidak terkata apa-apa. Bahkan ada yang hilang kewarasannya. Sayidina Umar al-Khattab mengembarkan pedangnya dan mengugut sesiapa yang mengatakan Rasulullah telah wafat. Uthman Affan terus mengunci bicara. Ada sahabat yang meninggal dunia mendengar berita itu.
Kebiasaannya, sayidina Bilal akan menunggu Rasulullah di hadapan pintu baginda sebelum masuk solat dan akan berjalan bersama baginda ke masjid. Tetapi Rasulullah sudah tiada, beliau tetap berdiri depan pintu rumah Rasulullah, tapi kali ini tiada siapa yang keluar bersama dengannya. Setiap kali masuk waktu, begitulah perbuatan Bilal sambil menangis. Kerana tidak mampu menanggung rasa sedih, beliau membuat keputusan untuk keluar dari Madinah dan berhijrah ke Syam walaupun ramai sahabat lain cuba memujuknya untuk tidak pergi.
Setelah beberapa tahun menetap di Syam dan tidak pernah kembali ke Madinah, suatu hari Bilal bin Rabah bermimpi bertemu dengan Rasulullah SAW. Rasulullah menyatakan bahawa Bilal sudah lama tidak menziarahinya. Lalu Bilal pulang ke Madinah. Apabila Bilal pulang, sahabat-sahabat rindu hendak mendengar azannya, lalu meminta dia azan.
Akhirnya Bilal melaungkan azan sebagaimana dia sering mengalunkan azan ketika masih bersama Rasulullah SAW. Ketika dia mengalunkan azannya, semua orang yang pernah hidup pada zaman Rasulullah keluar dari rumah, mereka seakan-akan terpana dengan azan Bilal dan seperti kembali ke zaman Rasulullah masih hidup. Hingga ada yang berkata, “Adakah Rasulullah telah hidup kembali?”
Tiba-tiba azan Bilal terhenti apabila sampai pada kalimah “Aku naik saksi bahawa sesungguhnya Muhammad itu ialah Rasulullah” dan dia menangis dengan penuh hiba. Bagi Bilal, seakan-akan masih basah ingatannya bahawa selepas dia azan, Rasulullah akan bersama para Muslimin untuk bersolat. Seluruh Madinah ketika itu basah dengan airmata bersama Bilal. Kesemua dibawa kembali kepada kenangan indah bersama seorang insan yang paling agung, Muhammad salallahu alaihi wassalam.
✨💚✨💚✨💚✨💚✨💚
صلى الله عليك وسلم يا رسول الله فى كل لمحة ونفس عددما وسعه علم الله
✨💚✨💚✨💚✨💚✨💚