BERIMAN KEPADA PERKARA GHAIB.

*Gambar Sekadar Hiasan

Sayyidina Abu Musa Asy’ari radiyallahu-anhu meriwayatkan bahawa pada suatu ketika Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam telah memberitahu kami lima perkara:

(1) Sesungguhnya Allah Subhanahu Wa Ta’ala tidak tidur dan tidak layak dengan keagungan-Nya bahawa Dia tidur.

(2) Dia mengurang dan menambahkan rezeki.

(3) Amalan yang dilakukan pada waktu malam diangkat ke sisi-Nya sebelum waktu siang.

(4) Amalan-amalan yang dilakukan pada waktu siang diangkat ke sisi-Nya sebelum waktu malam.

(5) Hijab (di antara-Nya dan seluruh ciptaan-Nya) ialah nur (cahaya), jika Dia menyingkap hijab itu pasti pancaran-pancaran nur zat-Nya akan menghanguskan sekalian makhluk sejauh sampai pandangan-Nya.”

(Hadith Riwayat Muslim)

Sayyidina ‘Abdullah bin ‘Abbas radiyallahu-anhu meriwayatkan bahawa Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda, “Sesungguhnya sejak Allah Subhanahu Wa Ta’ala menjadikan Israfil alaihis-salam, dia berdiri dengan merapatkan kedua-dua kakinya dan tidak pernah dia mengangkat pandangannya, ada tujuh puluh hijab nur antara dia dengan Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Jika Israfil alaihis-salam menghampiri salah satu daripada hijab nur itu, maka pasti dia akan hangus terbakar.” (Masobihus Sunnah)

Sayyidina Abu Zar radiyallahu-anhu meriwayatkan bahawa Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda, “Sesungguhnya daku nampak apa-apa yang kamu tidak nampak dan daku dapat mendengar apa-apa yang kamu tidak dengar. Langit berderap-derap (kerana keberatan keagungan Ilahi sebagaimana pangkin atau seumpamanya berderap-derap kerana beban berat) dan sepatutnyalah ia berderap (kerana beban keagungan Allah Subhanahu Wa Ta’ala sangat berat). Di langit sana di setiap kawasan seluas empat jari pasti ada mana-mana malaikat yang meletakkan dahinya bersujud kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Demi Allah, sekiranya kamu mengetahui apa-apa yang daku ketahui sudah tentu kamu akan sedikit ketawa dan banyak menangis dan kamu tidak akan merasa nikmat bersama isteri kamu di tempat tidur dan pasti kamu akan pergi ke tempat-tempat terpencil berdoa memohon perlindungan kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala: Alangkah baiknya jika daku sebatang pohon yang dipotong (dari pangkalnya).”

(Hadith Riwayat Tirmidzi)

Share on facebook
Facebook
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on email
Email

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *