Antara perkara penting dan menjadi rukun dalam pernikahan (berdasarkan mazhab Shafie) adalah wali. Ramai kekadang terkeliru dengan istilah seperti wali mujbir, wali hakim dan wali tahkim. Oleh itu mari kita telusuri jenis-jenis wali dalam pernikahan.
1.Wali aqrab dan Wali Ab’ad.
Wali Aqrab terdiri daripada bapa. Sekiranya bapa tiada, ia merujuk kepada datuk dan ke atas. Wali Ab’ad pula terdiri daripada selain bapa dan datuk mengikut tertib susunan wali dalam mazhab Shafie. Beza antara wali Aqrab dan wali Ab’ad adalah wali aqrab seperti bapa atau datuk boleh menikahkan anak dara perempuan tanpa persetujuan atau keizinannya terlebih dahulu. Namun begitu terdapat beberapa syarat yang ditetapkan. Manakala wali ab’ad pula tidak mempunyai hak berkenaan.
2. Wali Hakim/Raja
Wali Hakim/Raja adalah wali yang ditauliahkan oleh YDPA bagi Wilayah, Pulau Pinang, Melaka atau Raja bagi negeri-negeri selain di atas. Wali Raja/Hakim mengambil tempat wali sekiranya wali aqrab dan abád tidak boleh menikahkan perempuan atas sebab-sebab tertentu seperti tiada wali nasab, wali enggan, anak tak sah taraf, wali yang ada tidak cukup syarat, wali aqrab menunaikan haji atau umrah dan wali aqrab berada jauh atau ghaib.
3. Wali Tahkim
Wali tahkim ini terpakai apabila seseorang perempuan yang ingin bernikah namun tiada wali nasab atau wali raja. Perempuan tersebut mungkin dalam situasi musafir, terputus hubungan, terdampar di pulau, tersesat di padang pasir atau berada di negeri asing di mana penduduk dan pemerintahnya adalah terdiri daripada kalangan bukan Islam. Maka dalam konteks tersebut, diharuskan seorang perempuan melantik lelaki sebagai muhakam (orang yang diberi kuasa) untuk mengambil kedudukan hakim. Syarat menggunakan wali tahkim adalah perempuan tersebut tidak mempunyai wali khas iaitu wali nasab. Jika Wali nasab ghaib atau tiada dalam majlis, maka hak perwalian berpindah pada wali raja/hakim.
Oleh yang demikian, kepada para pasangan yang bernikah di luar negara terutamanya di Thailand atau melalui nikah sindiket, pastikan anda mengetahui status wali yang digunapakai dalam pernikahan tersebut. Maka tidak hairanlah jika terdapat banyak kes yang tidak dapat disahkan di Mahkamah disebabkan masalah perwalian.