RASULULLAH SAW SEBAGAI BAPA ROHANI

* Gambar Sekadar Hiasan

Perbincangan kita tentang kecintaan pada Nabi saw dan keperluan kita kepadanya dalam menelusuri kehidupan kita di dunia dan di akhirat menarik kita untuk berbincang tentang suatu isu iaitu RasuluLLah saw sebagai bapa rohani.

Perbincangan tentang kebapaan RasuluLLah saw ialah perbincangan tentang hubungan khusus yang terjalin antara baginda saw dengan sebahagian para sahabat r.a. kedudukan baginda di sisi para sahabat seperti kedudukan seorang ayah yang penyayang, baginda mengambil berat perihal mereka dari sekecil-kecil perkara sehinggalah sebesar-besarnya baik urusan tersebut bersangkutan dengan kehidupan duniawi mahupun ukhrawi.

Hubungan ini menjadi bertambah erat di kalangan kaum muhajirin dan ansar di Madinah Munawwarah (sebuah entity masyarakat yang besar dan majmuk yang diketuai oleh RasuluLLah saw). Ia ibarat pohon yang subur yang mengeluarkan buahnya ketika berlalu musim-musimnya yang dikehendaki oleh Allah. Bagi menggambarkan hakikat ini Allah melakarkannya dalam firman Nya :

النَّبِيُّ أوْلىَ بِالمُؤْمِنِيْنَ مِنْ أَنْفُسِهِمْ وَأَزْوَاجُهُ أُمَّهَاتُهُمْ

Nabi saw itu terlebih utama bagi orang – orang beriman dari diri mereka sendiri dan isteri-isteri baginda adalah ibu-ibu mereka (al ahzab)

Bahkan yang lebih jelas dari itu ialah firman Nya;
إنَّمَا المُؤْمِنُوْنَ إخْوَةٌ

Hanya sanya orang – orang beriman itu bersaudara

RasuluLLah saw menghimpunkan mereka semua di bawah satu payung kekeluargaan yang belum pernah dikenali dalam sejarah sepertinya. Bagindalah yang memayunginya menjaga dan memelihara keluarga besar tersebut dengan penuh perhatian dan kasih sayang melebih kasih seorang bapa biologi.

لَقَدْ جَاءَكُمْ رَسُوْلٌ مِنْ أَنْفُسِكُمْ عَزِيْزٌ عَلَيْهِ مَا عَنِتُّمْ حَرِيْصٌ عَلَيْكُمْ بِالمُؤْمِنِيْنَ رَؤُوْفٌ رَحِيْمٌ

Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang rasul dari kaum kamu sendiri berat terasa olehnya penderitaan yang kamu alami, dia sangat menginginkan keimanan dan keselamatan bagi kamu penyantun dan penyayang terhadap orang-orang beriman.

Imam ibn Katsir rah. berkata ketika menafsirkan ayat ke enam dari surah al Ahzab : Imam Ahmad bin Hanbal menriwayatkan dari az Zuhri tafsiran beliau terhadap ayat “ Nabi itu terlebih utama bagi orang-orang beriman dari diri mereka sendiri”

Abi Salamah meriwayatkan dari Jabir bin Abdullah r.a katanya : adalah Nabi saw bersabda :

أنَا أوْلَى بِكُلِّ مُؤْمِنٍ مِنْ نَفْسِهِ , فَأيُّمَا رَجُلٍ مَاتَ وَتَرَكَ دَيْناً فَإلَيَّ, وَمَنْ تَرَكَ مَالاً فَهُوَ لِوَرَثَتِهِ

Aku terlebih utama bagi setiap mukmin dari dirinya sendiri, maka mana-mana lelaki yang meninggal dunia dan meninggalkan hutang maka ia adalah menjadi tanggungan ku. Sesiapa yang meninggal dunia sedangkan dia meninggalkan harta maka ia adalah menjadi milik para pewarisnya. (riwayat Abu Daud dan Imam Ahmad bin Hanbal)

Berkata ibnu Katsir lagi mengenai ayat :

وَأَزْوَاجُهُ أُمَّهَاتُهُمْ

Dan isteri – isteri baginda adalah ibu-ibu mereka (al ahzab : 6)
“Yakni mereka (para isteri RasuluLLah saw) adalah seperti ibu – ibu dari segi kemuhriman dan penghormatan”.

Ubbai bin Ka’ab dan ibnu Abbas r.a telah membaca ayat ini dengan menafsirkan :

النَّبِيُّ أوْلىَ بِالمُؤْمِنِيْنَ مِنْ أَنْفُسِهِمْ وَأَزْوَاجُهُ أُمَّهَاتُهُمْ وَهُوَ أبُّ لَهُمْ

Nabi saw itu terlebih utama bagi orang-orang beriman dari diri mereka sendiri dan isteri-isteri baginda adalah ibu-ibu mereka. Baginda adalah ayah bagi mereka.

Tafsiran dan bacaan seperti ini juga telah diriwayatkan dari Saidina Muawiyah, Ikrimah, Mujahid dan al Hasan r.a . ia juga merupakan salah satu pendapat (wajah) dalam mazhab Syafie sebagaimana yang telah diriwayatkan oleh al Baghawi.

Para ulama’ (yang bersetuju dengan pendapat bahawa RasuluLLah saw adalah bapa rohani) telah bersandar kepada hadis riwayat Abu Daud sebagai dalil ke atas pendapat mereka itu. Sabda RasuluLLah saw :

إنَّمَا أنَا لَكُمْ بِمَنْزِلَةِ الوَالِدِ , أُعَلِّمُكُمْ , فَإذَا جَاءَ أحَدُكُمْ الغَائِطَ فَلاَ يَسْتَقْبِلِ القِبْلَةَ وَلاَ يَسْتَدْبِرُهاَ وَلاَ يَسْتَطِبْ بِيَمِينِهِ.

Hanya sanya daku bagi kamu seperti kedudukan seorang ayah, daku memberikan pelajaran untuk kamu. Apabila kamu mendatangi tandas maka jangan menghadap kiblat atau membelakangkannya dan jangan pula kamu beristinjak dengan menggunakan tangan kanan.

Hadis ini juga diriwayatkan oleh an Nasaie dan Ibnu Majah demikianlah perkataan Imam Ibnu Katsir.

Bapa pada bahasa ialah sesuatu yang menjadi sebab bagi kewujudan sesuatu atau kebaikannya (qamus al munjid). Berdasarkan pengertian ini RasuluLLah saw adalah seperti bapa jika dilihat pada kesungguhan baginda saw memperbaiki para sahabat dan generasi selepas mereka . hubungan kebapaan ini adalah bersifat rohani yang terhasil dari penyerahan diri dan kepatuhan para sahabat terhadap risalah yang dibawa oleh baginda saw . ia adalah nasab rohani dan dini yang berpunca dari pemberian janji taat setia mereka kepada baginda (mubaya’ah).

Sabda RasuluLLah saw:

ليس بين الله وبين عباده نسب إلا بطاعته

tiada nasab antara Allah dan hamba Nya melainkan ketaatan pada Nya.
Hubungan kebapaan ini juga berlaku kepada para nabi dengan para pengikut mereka sebelum baginda saw. Contohnya Nabi Luth berkata kepada kaumnya :

{قَالَ يَاقَوْمِ:هَؤُلاَءِ بَنَاتِيْ هُنَّ أَطْهَرُ لَكُمْ} هود / 78.

Nabi Luth berkata : wahai kaum ku ! mereka itu adalah anak-anak perempuan ku, mereka itu lebih suci untuk kamu.

Maksud ayat ini menurut sebahagian ulama’ tafsir ialah perkataan Nabi Luth yang ditujukan kepada pemuda kaumnya maksudnya “ kahwinilah wanita kaum ku mereka itu suci dari melakukan perkara yang keji”. Nabi Luth memanggil wanita kaumnya dengan “anak-anak perempuan ku” disebabkan hubungan rohani yang terjalin antara baginda dan kaum baginda.

Perkataan nubuwwah (kenabian) juga memiliki banyak makna dan di antara maknanya ialah bapa. Iaitu hubungan rohani yang terhasil dari penyerahan dan kepatuhan kepada ajaran baginda setelah memberikan janji setia. Perhubungan ini menyebabkan wujudnya keselamatan, keamanan dan penjagaan serta pemeliharaan dari dosa dan kejahatan musuh. Makna ini terpancar secara jelas dalam kehidupan para sahabat r.a dengan baginda Nabi saw.

Dengan berlalunya masa maka perasaan ini (RasuluLLah saw sebagai bapa) semakin kuat dan utuh dalam diri para sahabat, kita akan temui banyak bukti tentangnya dalam lembaran sirah baginda yang mulia.

Di antara kisah yang membuktikan sifat bapa RasuluLLah saw terhadap para sahabat ialah kisah baginda saw bermadah dengan Ibnu Abbas yang ketika itu masih kanak-kanak. Sabda baginda saw :

Wahai anak! Sesungguhnya akan daku ajarkan dikau beberapa perkataan; peliharalah Allah nescaya Dia akan memelihara akan dikau…
Ketika baginda saw keluar ke celah-celah bukit di Madinah untuk mengucapkan selamat tinggal kepada Saidina Muaz bin Jabal yang akan berangkat ke Yaman, baginda memandang kepada beliau dengan pandangan kasih seorang ayah. Baginda menatap wajah Muaz sambil berkata “mungkin engkau tiada dapat lagi bertemu dengan ku selepas ini”. Disebabkan cintanya yang mendalam pada anaknya (saidina Muaz) baginda sempat berpesan “ jika kita tiada berjumpa lagi selepas ini maka ziarahilah kuburku”.

Suatu ketika baginda bergurau dengan seorang kanak-kanak dengan bernama Umair dengan menggeleteknya…begitu juga baginda pernah bergurau dengan seorang dewasa di pasar dengan menarik bajunya dari belakang lalu baginda berkata “siapa nak beli hamba ini”?

Pernah juga baginda saw berjenaka dengan seorang wanita tua dengan mengatakan orang tua tiada ke syurga. Baginda saw menjaga anak-anak yang kematian bapa atau ibunya seperti kisah anak-anak Saidina Jaafar yang gugur syahid di medan perang Mu’tah.
Kisah keperihatinan baginda terhadap kesusahan seorang sahabat yang bernama Jabir bin Abdullah sehingga baginda sanggup membeli unta yang kurus kering daripada beliau kerana ingin membantu beliau. Banyak lagi kisah-kisah yang menunjukkan betapa hubungan Nabi saw dan para sahabatnya melebihi hubungan sebagai seorang bapa.

Disebabkan hubungan yang begitu intim yang terjalin antara Nabi saw dengan para sahabat r.a yang mana mereka itu berada di bawah jagaan dan asuhan seorang bapa yang sangat penyang iaitu Saidina Muhammad saw maka lahirlah generasi para sahabat yang hebat yang mempu menanggung amanah risalah selepas kewafatan baginda saw. Justeru kerana kasih baginda yang mendalam pada anak – anak baginda , maka mengingatkan pada kita :

لا تسبوا أصحابي

Jangan kamu mencela sahabat ku !
Meskipun kita sudah berada jauh dari zaman Nabi saw namun Allah masih memberi peluang kepada kita untuk berada di bawah naungan bapa rohani dengan kita berada di bawah tarbiyah seorang syeikh yang merupakan pewaris nabi saw. Apabila telah sabit bahawa RasuluLLah saw itu adalah bapa rohani maka sabitlah bahawa pewarisnya yang sempurna itu adalah sebagai bapa rohani. Hal ini berdasarkan kaedah usul fiqh :

إذَا ثَبَتَ الأصلُ ثَبَتَ الفَرْعُ

Apabila telah sabit hukum asal maka sabitlah hukum cabang.

Semua orang maklum bahawa Nabi Adam adalah bapa jasad kita dengan maksud jasad kita ini bermula dengan penciptaan jasad Adam. Sebagai ganti kepada Adam sebagai bapa jasad kita Allah menciptakan bapa kita sebagai bapa. Sedangkan rohani kita telah dijadikan oleh Allah beribu – ribu tahun sebelum djadikan jasad kita.

* Klik Disini

SYEIKH MUROBBI SEBAGAI BAPA ROHANI

Jika nabi Adam a.s adalah bapa jasad kita dengan maksud ia menjadi sebab kepada penciptaan jasad kita, dan bapa nasab kita meneruskan tugas dan peranannya sebagai bapa jasad, maka begitu juga sepatutnya dengan rohani kita.

Hal ini kerana kejadian manusia itu sendiri yang terdiri daripada unsur jasmani dan rohani bahkan rohani manusia telah diciptakan oleh Allah beribu – ribu tahun lamanya sebelum jasad.

Ada sebuah hadis yang terdapat di dalam kitab ad durr an nafis yang menyebut :-

أنَا أبُوْ الأرْوَاحِ وَآدَمُ أبُوْ البَشَرِ

Aku adalah bapa segala roh dan Adam adalah bapa manusia.

Berdasarkan hadis di atas RasuluLLah saw adalah bapa rohani, justeru setelah kewafatan baginda saw tugas bapa rohani itu diwarisi oleh para pewarisnya yang benar yang dikenali dengan istilah mursyid.

Menurut Syaikh al Suhrawardi dalam kitabnya ‘awarif al ma’arif seorang syaikh adalah naib al rasul yakni pengganti Rasul dalam mendidik umat. Mereka adalah khalifah rohani RasuluLLah saw yang mewarisi ilmu, jiwa, amal, perjuangan, karamah yang pada hakikatnya adalah mukjizat Nabi saw.

Justeru apabila kita bertali dengan mereka maka bermakna kita membina hubungan rohani dengan mereka dan mereka adalah bapa rohani kita seperti RasuluLLah saw dengan para sahabat.

Berkata Syeikh Ahmad al Kamsyahanuwi di dalam kitab jami’ al usul fi al awliya’ :-

وَكَانَ الشَّيْخُ فِيْ الدِّيْنِ مُقَدَّمَ النَّسَبِ عَلىَ الأبِ فِيْ الطِّيْنِ

Seorang syeikh pada agama(bapa rohani) itu didahulukan nasabnya ke atas bapa jasmani.

Share on facebook
Share on whatsapp

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *