Mengapa ramai yang berilmu tetapi tidak beradap. Menjadi ahli ibadah di masjid & surau tetapi kurang sabar di jalanan atau seumpamanya. Mengapa???
Kerana talbis iblis (perangkap/tipudaya) sangat halus sehinggakan mereka yang bijak pandai pun terkulai dan termakan pujuk rayunya. Syaitan mencari kelemahan untuk menjatuhkan kita dengan apa cara sekalipun. Seperti mana kita beristiqamah mereka juga istiqamah merancang dan mencari strategi yang terbaik untuk menjatuhkan kita.
Dalam surah Al-A’raf ayat 16-17 yang bermaksud:
Iblis menjawab, ‘Karena Engkau telah menghukumku tersesat, maka saya benar-benar akan (menghalang-halangi) mereka dari jalan-Mu yang lurus, kemudian saya akan mendatangi mereka dari muka dan dari belakang mereka, dari kanan dan dari kiri mereka. Dan Engkau tidak akan mendapati kebanyakan mereka bersyukur.
Itulah tekad mereka mahukan manusia tersesat dan terpesong dari landasan yang sebenar. Ada di kalangan manusia yang sabar dalam beribadah seperti contoh berpuasa, melakukan solat sunat, berjemaah di masjid tetapi kurangnya sabar dalam berkata-kata seperti contoh bercakap hal yang sia-sia, suka menceritakan perkara yang tidak baik mengenai orang lain, menjadi pemarah bila di jalan raya dan seumpamanya. Mengapa hal itu berlaku?
Syaitan juga menggalakkan pertengkaran. Selalunya manusia tidak sedar itu adalah bisikan dan cucukan daripada syaitan yang akan sentiasa menambah perisa bagi menghangatkan lagi suasana yang panas.
Firman Allah SWT dalam surah Isra’ ayat 53 yang bermaksud:
Dan katakanlah kepada hamba-hamba-Ku: “Hendaklah mereka mengucapkan perkataan yang lebih baik (benar). Sesungguhnya syaitan itu menimbulkan perselisihan di antara mereka. Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi manusia.
Rasulullah SAW banyak kali mengingatkan umat Baginda mengenai kejinya nafsu marah yang tidak terkawal kerana ia antara pintu digunakan syaitan dan iblis dalam menguasai manusia.
Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya syaitan menyusup dalam diri manusia melalui aliran darah. (HR Bukhari)
Saat manusia marah, syaitan terus memasuki salur darah manusia menyebabkan berlaku hilang pertimbangan akal fikiran, manakala wajah mulai merah dengan degupan jantung berlari kencang.
Oleh itu jadilah manusia yang sentiasa ikhlas dalam apa jua kedaan sekalipun kerana ikhlas merupakan senjata yang ampuh untuk mempertahankan iman dan pendinding.
“Maka demi kemuliaanMu maka aku akan sesatkan semua anak Adam kecuali hamba-hambaMu yang ikhlas”.
Surah Saad: ayat 82-83